• No events
Apr 082009
 
FacebookTwitterGoogle+

PELBAGAI jenis makanan kian melambak di pasaran sekarang, terutamanya bagi makanan jenis segera atau ‘instant.’

Makanan segar seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran juga mudah didapati di pasar raya-pasar raya dan mula mendapat tempat di hati masyarakat, khasnya masyarakat bandar.

Kebanyakan barangan ini memiliki logo Halal dari JAKIM, malah tak kurang juga yang tidak mendapat kelulusan dari JAKIM. Namun, sesetengah masyarakat yang hidup penuh kemodenan jarang mempedulikan atau menitikberatkan soal ini, asalkan semuanya dapat dilakukan dengan cepat dan segera.

Terbaru, saya ada membaca paparan akhbar tentang ayam selasih atau ayam hitam yang dibeli di pasar raya besar disembelih tidak mengikut hukum syarak. Pelanggan yang membeli ayam tersebut mendapati seekor ayam yang dibelinya tiada leher, manakala seekor lagi didapati urat pada lehernya tidak putus.

Malah, pelanggan ini ditawarkan RM20000 oleh pengurusan pasar raya besar ini sebagai ‘upah’ supaya tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa setelah dibuat aduan tentang ayam yang dibelinya tidak disembelih mengikut hukum syarak. Namun, beliau tidak gelap mata, dan terus membuat aduan kepada JAKIM.

Saya tertanya-tanya; pasar raya besar tersebut mempunyai pegawai yang memeriksa status halal pada barangan yang dijual, namun kenapa hal ini masih lagi terjadi? Adakah pegawai di situ benar-benar menjalankan pemeriksaan bagi memastikan barangan yang dijual, terutama makanan segar, disahkan halal?

Atau, pemeriksaan hanya dilakukan pada kali pertama barangan tersebut dihantar, dan pada kali yang seterusnya tidak lagi diperiksa kerana telah disahkan halal sebelumnya? Hairan juga saya. Prosedur bagaimana yang dilakukan sehingga status halal pada barangan makanan ini boleh dimanipualsi?

Dalam situasi yang lain pula, saya mendapati antara aduan yang diterima oleh orang ramai berkenaan masalah ayam ialah ayam yang dibeli di pasar raya berbau busuk, ayam yang dihantar bercampur bersama daging babi serta terdapat haiwan lain di dalam plastik bungkusan ayam.

Seorang pengguna pula mendakwa ayam segera yang dibeli di sebuah pasar raya mengandungi cicak di dalam salutan tepung ayam tersebut.

Selain masalah ayam, sebelum ini kita didedahkan dengan sebuah kegiatan syarikat katering, di mana syarikat ini menggunakan pelbagai jenis wain bagi memerap masakannya, terutama ayam dan daging, malah syarikat ini turut menggunakan sijil halal palsu yang dibeli daripada anggota sindiket menjual sijil halal palsu dengan harga RM 2 500.

Akal saya mula ligat berfikir; jika kita sendiri boleh tertipu dengan logo halal ini, bagaimana kita hendak memastikan sesuatu barangan atau makanan itu benar-benar disahkan halal?

Sekalipun telah mendapat sijil halal, terdapat juga sesetengah pengeluar yang melakukan penyelewengan dengan melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan JAKIM. Bagaimana JAKIM mahu mengatasi masalah ini?

Saya berharap JAKIM dapat melakukan pemeriksaan terperinci ke atas sesuatu barangan sebelum mengeluarkan sijil halal, dan terus membuat pemantauan ke atas pengeluar walaupun setelah sijil halal dikeluarkan bagi memastikan pengeluar tersebut tidak melakukan sebarang penyelewengan.

Sebagai orang Islam, kita hendaklah berhati-hati ketika hendak membeli ayam bagi mengelakkan ayam yang dibeli tidak elok atau tidak halal, begitu juga dengan pemilihan dalam membeli barangan atau menempah makanan melalui katering. Jika hendak membeli ayam di pasar raya, teliti dahulu ayam tersebut.

Jika meragukan, usahlah dibeli. Ini lebih baik daripada memakan ayam yang diragui status halalnya, kerana ia termasuk dalam perkara syubhah dan lebih baik ditinggalkan.

Lebih selamat jika kita membeli ayam di pasar pagi kerana ia masih segar serta boleh dilihat dan diperiksa dengan jelas. Pendek kata, umat Islam hendaklah sensitif dan berhati-hati dalam memilih makanan yang halal lagi baik. Halalan toyyiba.

MOHD FAISAL MUSTAFFA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 Posted by at 7:08 am

 Leave a Reply

(required)

(required)

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>