• No events
Jul 262010
 
FacebookTwitterGoogle+

DALAM satu pidato ketika menyambut kedatangan bulan suci Ramadan, Rasulullah menyebut Ramadan sebagai bulan agung dan penuh berkat.

Ini kerana keagungan dan keberkatan yang menghiasi bulan itu, maka Ramadan selalu dinanti-nantikan kehadirannya oleh setiap Muslim. Perkataan berkat itu membawa erti kebaikan dan kebajikan yang melimpah.Menurut seorang ulama tafsir terkenal, Al-Asfihani, sesuatu disebut berkat apabila di dalamnya terkandung kebaikan dan kebajikan yang amat banyak.

Contohnya, air hujan disebut Allah dalam al-Quran sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan yang melimpah-ruah kerana dapat menyuburkan tanah dan menumbuhkan pelbagai tanaman yang amat berguna kepada manusia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan juga Kami menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai, serta pohon kurma yang tinggi menjulang yang mengeluarkan mayang berlapis-lapis, lagi hebat putiknya; (Semuanya itu) itu sebagai rezeki bagi hamba Kami.

Dan lagi Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati; demikianlah pula keadaan keluarnya (orang yang mati dari kubur selepas dibangkitkan hidup kelak).” (al-Qaf: 9-11)

Keberkatan, menurut Syeikh Rashid Redha, ada dua jenis. Pertama, keberkatan bersifat fizikal seperti air hujan, rezeki, kesihatan jasmani dan kenikmatan lain yang memberikan kebahagiaan kepada manusia.

Kedua ialah keberkatan yang tidak bersifat fizikal seperti turunnya wahyu, institusi serta ketenangan jiwa yang dapat memandu manusia ke arah kesempurnaan dan kesejahteraan abadi. Keberkatan kedua inilah yang menghiasi serinya Ramadan.

Dari sini, satu lagi keberkatan yang menyerikan lagi fadilat Ramadan ialah turunnya al-Quran.

Al-Quran itu sendiri disebut Allah sebagai kitab yang di dalamnya terkandung peringatan dan keberkatannya sebagaimana firman Allah bermaksud: Dan al-Quran ini juga pengajarannya yang berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad); dengan keadaan yang demikian, maka patutkah kamu mengingkarinya? (al-Anbia: 50)

Apa yang lebih istimewa ialah malam yang mana al-Quran diturunkan disebut oleh Allah sebagai malam yang diberkati, lailatin mubarakah sebagaimana firman-Nya bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat: (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba Kami ditimpa azab). (al-Dukhan: 3)

Bertitik tolak dari sini, Ramadan sungguh diberkati dan mengandungi pelbagai keberkatan dan keistimewaan yang tidak terhingga banyaknya.

Dalam bulan ini, Allah banyak menurunkan rahmat, memberikan pengampunan dan menyediakan jaminan pembebasan manusia daripada api neraka.

Tidak cukup dengan itu, Allah menutup pintu neraka, membelenggu pergerakan syaitan dan membuka seluas-luasnya pintu syurga.

Apa yang lebih menarik lagi ialah Allah melipatgandakan ganjaran pahala segala ibadah dan amal soleh sehingga beratus-ratus dan beribu-ribu ganda kecuali ibadat puasa yang hanya menjadi perhitungan rahsia di sisi Allah.

Selanjutnya, Allah membuka pintu kemaafan dan keampunan seluas-luasnya sebagaimana maksud sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan keredaan Allah, maka Allah akan mengampuni seluruh dosanya seumpama dia baru lahir dari rahim ibunya.” (Riwayat Ahmad)

Demikianlah Allah mengagungkan Ramadan. Berdasarkan kepada keistimewaan dan keberkatan yang hadir bersama Ramadan, secara jelas mengisyaratkan betapa Allah menyeru umat Islam supaya merebut kelebihan yang disediakan Allah sepanjang bulan mulia itu.

Tentunya dengan lebih banyak melakukan amal soleh selain ibadat puasa itu sendiri seperti solat tarawih, tadarus al-Quran, iktikaf, bersedekah dan berdoa.

Ringkasnya, hadirnya Ramadan mengundang seribu satu kesempatan bagi orang beriman untuk beramal ibadat di samping bertafakur dan bermuhasabah diri.

Amalan muhasabah diri akan mencetuskan kesedaran dan keinsafan yang cukup bermakna untuk memperbetulkan kesilapan lalu dan sekali gus meningkatkan mutu sesuatu amalan ibadat kepada Allah.

Alangkah ruginya jika seseorang Muslim yang tidak mengisi amalan ibadat sepanjang Ramadan dan tidak pula mengecapi fadilat Ramadan yang disediakan Allah bagi orang yang mengharapkan keredaan-Nya.

Maka benarlah apa yang pernah disabdakan Rasulullah saw yang bermaksud: “Betapa ramainya orang berpuasa sepanjang hari, namun mereka tidak mendapat apa-apa melainkan keperitan lapar dan dahaga.

Begitu juga betapa ramainya orang yang berjaga pada malam hari, namun mereka juga tidak mendapat apa-apa melainkan kepenatan berjaga malam.” (Riwayat Ahmad & Hakim)

Maka, tidak hairanlah Ramadan dianggap sebagai bulan latihan dan ujian daripada Allah. Inilah antara hikmah tersurat dan tersirat di sebalik pensyariatan ibadat puasa kepada umat Islam dan sekali gus mengangkat Ramadan sebagai bulan agung lagi penuh berkat.

Ibadat puasa sebenarnya melatih dalam mengelola dan mengendalikan kehendak atau keinginan kita. Dengan berpuasa, kita dapat merasakan betapa kita melatih kehendak agar pada akhirnya kehendak itu selaras dengan kehendak Allah.

Ironinya, dalam keadaan berlapar dan menahan dahaga pada siang hari yang panas lagi terik pada Ramadan, bukankah perkara yang paling enak dilakukan dalam keadaan yang sedemikian rupa ialah makan dan minum?

Akan tetapi, hal sedemikian tidak berlaku sama sekali kerana kita menginsafi bahawa perbuatan itu menyalahi kehendak Allah.

Justeru, ia menuntut kesabaran untuk menahan diri daripada makan dan minum sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam ibadat puasa.

Seterusnya, ibadat puasa melatih kita dalam persoalan ketaatan, kesabaran dan kesungguhan beramal ibadat kepada Allah.

Bukankah kerana ketaatan kita yang tulus ikhlas kepada Allah, kita pun tidak tergamak untuk melakukan larangan Allah ketika melaksanakan ibadat puasa seperti makan dan minum secara sembunyi dan jauh daripada pandangan orang ramai?

Begitu juga, bukankah kerana kesabaran dan kesungguhan beramal kepada Allah, kita bersedia menghadapi sebulan Ramadan dengan kelaparan, kehausan dan memelihara diri daripada perkara yang boleh membatalkan puasa, termasuk melalui malamnya dengan mengurangkan jumlah jam tidur agar dapat lebih banyak masa untuk beribadah kepada Allah?

Buah dari latihan dan ujian yang dihamparkan Allah sepanjang Ramadan ini ialah buah keimanan dan ketakwaan yang semakin hampir ke hadrat Allah.

Takwa, menurut definisi Imam Ali bin Abi Talib, ialah takut kepada Allah semata-mata, beramal serta beristiqamah dengan segala perintah-Nya, reda dan berasa cukup dengan keadaan yang sedikit dan bersiap sedia menghadapi hari kematian.

Takwa inilah antara objektif utama di sebalik pensyariatan ibadat puasa sebagaimana ditegaskan sendiri oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Nampaknya semacam ada satu hubungan secara langsung di antara takwa dan keberkatan yang mewarnai kehidupan harian seseorang Muslim, terutama dalam bulan mulia ini.

Apa yang dapat disimpulkan ialah keberkatan disediakan Allah dalam bulan ini hanya boleh diperolehi dengan iman dan takwa yang bertapak kukuh dalam jiwa sanubari seseorang Muslim.

Oleh sebab itulah, apabila diteliti dalam al-Quran, perkataan keberkatan itu sentiasa dikaitkan dengan iman dan takwa.

Contohnya, Allah berfirman yang bermaksud: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan. (al-A’raf: 96)

Mafhum ayat suci itu menegaskan bahawa iman dan takwa adalah saluran konkrit yang dapat memimpin seseorang Muslim untuk meraih pelbagai keberkatan dan kebajikan yang melimpah ruah yang dijanjikan Allah.

Oleh kerana itulah, Allah memfardukan ibadat puasa kepada umat Islam dengan harapan mereka dapat menjana keimanan yang tulus dan memantapkan ketakwaan yang kudus dan sekali gus meraih pelbagai jenis keberkatan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 Posted by at 10:29 pm

 Leave a Reply

(required)

(required)

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>