Category Archives: Masa

KELEBIHAN BULAN REJAB

Bulan-bulan hijrah datang dan pergi tanpa disedari. Hanya Ramadan dan Syawal sahaja yang kebanyakkan kita sedar kedatangannya. Berikut adalah himpunan kelebihan-kelebihan bulan Rejab yang boleh dimanafaatkan oleh umat islam dengan memperbanyakkan ibadah.

1. Sabda Nabi s.a.w.: Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat.

2. Sabda Nabi s.a.w.: Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadan bulan umatku.

3. Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya, Syaaban dengan malam NISFUnya dan Ramadan dengan LAILATUL QADARnya.

4. Malam awal Rejab mustajab do’anya. ( Dalam Kitab Raudhoh Iman Nawawi)

5. Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga tertinggi (Firdaus). Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya.

6. Puasa 3 hari pada bulan Rejab dijadikan parit yang panjang, yang menghalangkan dia ke neraka (panjangnya setahun perjalanan).

7. Puasa 4 hari pada bulan Rejab diafiatkan daripada bala dan daripada penyakit yang besar-besar dan daripada fitnah Dajal di hari kiamat.

8. Puasa 5 hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur. Puasa enam hari pada bulan Rejab, keluar kubur bercaya muka.

9. Puasa 7 hari pada bulan Rejab, ditutup daripada tujuh pintu neraka.

10. Puasa 8 hari pada bulan Rejab, dibuka baginya lapan pintu syurga.

11. Puasa 9 hari pada bulan Rejab keluar dari kuburnya lalu, MENGUCAP DUA KALIMAH SHAHADAH, maka tidak ditolak dia dari memasuki syurga.

12. Puasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan dua sayap, terbang seperti kilat di atas Titi Sirotalmustaqim di hari kiamat.

13. Puasa 16 hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.

14. Puasa 19 hari pada bulan Rejab, dibina baginya sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim a.s dan Nabi Allah Adam a.s.

Puasa 20 hari pada bulan Rejab, diampunkan segala dosanya yang telah lalu.

Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala Qalam.

17. Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti puasa sebulan pahalanya.

18. Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti.

19. Sesiapa bersedekah pada bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu kejahatan.

20. Setiap sehari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan Rejab seperti ibadat seribu Haji dan Umrah. Dibina mahligai seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali. Bulan Rejab bulan Allah.

21. Bersedekah pada bulan Rejab, dijauhkan Allah daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, Bulan Allah.

22. Allah jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan Malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada Umat Muhammad. Allah menjawap: Telah aku ampunkan mereka!

23. Barangsiapa meminta ampun (beristighfar) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan Rejab di haramkan tubuhnya daripada api neraka.

24. Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya: ‘Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demi ketinggianKu dan kebesaranKu, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiranKu di bawah `arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu, engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan antara kau’.(dari kitab Raudatul Ifkar)

25. Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari ISRAK-MIKRAJ.

Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus.

Siapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya (berjaga), seperti dia berpuasa tiga ribu tahun. Diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasadnya, 70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Quran dinaik ketika berlalu di Titi Sirotalmustaqim.

REJAB bulan menabur benih. SYAABAN bulan menyiram tanaman. RAMADAN bulan menuai.

REJAB menyucikan badannya. SYAABAN menyucikan hatinya. RAMADAN menyucikan rohnya

REJAB bulan taubat. SYAABAN bulan muhibbah. RAMADAN dilimpahi pahala amalan.

Beramallah menurut kemampuan masing-masing, jika tidak dapat melaksanakannya janganlah ditinggalkan semuanya.

HUKUM MENGUCAPKAN SELAMAT HARI NATAL KEPADA NON-MUSLIM & HUKUM MENCETAK KAD HARI RAYA KRISMAS

Nama penanya : Yasir (dari Jerman)
Nama Mufti yang menjawab : الشيخ الدكتور مصطفى الزرقا _ رحمه الله.ـ (Syeikh Dr. Mustafa Zarqa)
Soalan : Diharap dapat memberi penjalasan hukum syara’terhadap perkara-perkara berikut :
1) Ucapan Selamat Hari Natal/Krismas dan Selamat Tahun Baru
2) Mencetak Kad Hari Krismas, Kad Selamat Tahun Baru dan Kad Harijadi peribadi
3) Perniagaan menjual kad-kad yang disebutkan tadi
جزاكم الله عنا الخير الجزي

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله
Mengucapkan tahniah/selamat hari raya Krismas kepada kenalan Kristian yang merayakan hari Kelahiran Al-Masih – عليه الصّلاة والسلام – pada pendapat saya termasuk dalam bab kesopanan (mujamalah) dan keelokan dalam pergaulan. Sesungguhnya Islam tidak melarang kita daripada berbuat baik seumpama ini terhadap mereka lebih-lebih lagi Isa Al-Masih itu dalam akidah Islam kita, beliau adalah salah seorang rasul Allah, termasuk dalam golongan Ulul-’Azmi. Beliau juga dimuliakan dalam Islam, akan tetapi mereka (kaum Kristian) berlebih-lebihan dalam mengagungkan mereka dan beriktikad bahawa Isa itu adalah tuhan, Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka perkatakan.

Sesiapa yang keliru, dengan mengatakan sambutan hari kelahiran Isa ini adalah perayaan mereka (spt Aidilfitri dan aidil Adha), maka ia adalah haram, kerana ianya mempunyai kaitan dengan aqidah Kristian tentang ketuhanan Isa. Orang yang beriktiqad macam ini adalah salah. Mujamalah ini tidak ada kaitan dengan perincian aqidah mereka terhadap Nabi Isa dan sikap keterlaluan mereka dalam aqidah mereka.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad – صلّى الله عليه وسلم – tatkala baginda صلّى الله عليه وسلم bersama-sama sahabat, lalu satu jenazah Yahudi, baginda صلّى الله عليه وسلم lantas berdiri. Berdiri Rasulullah صلّى الله عليه وسلم itu adalah penjelasan tentang betapa hebat dan agungnya kematian itu, tidak ada kaitan dengan aqidah jenazah tersebut (yakni bukan kerana hendak menghormati aqidah jenazah tersebut)

Orang-orang Islam dituntut menzahirkan kebaikan dan kesederhanaan Islam kepada non-muslim, tidak boleh seorang pemimpin Islam paksa rakyatnya yang non-muslim atau ahli zimminya supaya memeluk Islam. bahkan, hendaklah bertasamuh (toleransi) dengan mereka dan biarkan mereka dengan agama mereka.

Tambahan lagi, orang Islam di serata alam sekarang ini dalam keadaan lemah, berbanding bangsa-bangsa lain, negara-negara besar membuat konspirasi ke atas negara muslim dan menuduh mereka sebagai pengganas …..tugas utama muslim sekarang ialah membersihkan gambaran negara mereka yang telah diletakkan oleh negara Barat.

Lebih-lebih lagi, pada hari raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha, mereka sering dikunjungi oleh sahabat-handai yang beragama Kristian bagi meraikan dan mengucapkan selamat hari raya. Jika pada hari raya mereka (Kristian), orang-orang Islam tidak pula menziarahi mereka, maka mungkin menjadi tanggapan bahawa benarlah apa yang dituduh ke atas Islam selama ini, dan juga orang-orang Islam tidak bersedia untuk bercampur dan bergaul dengan mereka.

Hukum yang disebut tentang hari raya kelahiran Isa (Krismas), adalah sama juga dengan hukum perayaan menyambut tahun baru kerana ianya tiada kaitan dengan aqidah. Ia sekadar permulaan sejarah (tarikh) sahaja. Para sahabat, tatkala sayyedina Omar – رضي الله عنه – mengumpulkan mereka untuk berbincang bagi menentukan peristiwa manakah yang patut diambil bagi menetapkan permulaan tahun hijrah, mereka mengetepikan pendapat-pendapat yang bergantung kepada tarikh-tarikh Rom atau tarikh Yahudi. Jika sekiranya peraka ini haram, sudah tentu mereka tidak mencadangkannya sedari awal lagi.

Apabila kita telah mengetahui hukum syara’ tentang mengucapkan tahniah (mengucapkan selamat hari raya), maka secara tidak langsung kita juga tahu hukum mencetak dan meniagakan kad-kad tersebut (kad hari raya Krismas sebagai contoh, atau kad selamat tahun baru). Kerana, selagimana ianya daripada jalan yang harus, maka ia menjadi harus.

Perlu diberi perhatian bahawa, mengucapkan Selamat hari Krismas kepada kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga persahabatan dan perhubungan (bukan atas dasar aqidah) adalah harus, tetapi merayakan Tahun Baru dengan pengisian-pengisian mungkar di dalamnya, itu adalah haram.

Ini yang jelas bagi saya والله سبحانه أعلم (Allah S.W.T. saja yang lebih mengetahui)

Diterjemah bebas daripada http://www.islamonline.net/fatwaapplication/arabic/display.asp?hFatwaID=17894

Hukum Sambutan Tahun Baru Masehi

Soalan

Saya pernah terbaca bahawa haram bagi kita umat Islam menyambut perayaan Tahun Baru pada malam 31 Disember? Apa pandangan ustaz dalam perkara ini?

Jawapan

Pertamanya, sebagai umat Muhammad SAW, kita di ajar untuk mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui “hawl” (tempoh wajibnya) sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha.

Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya.

Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun baru Masehi (yang mengikut kiraan Gregorian calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.

Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di atas asas adat dan kebiasaan. Namun begitu, syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil perhatian dalam sambutannya:-

* Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum kelebihan majlis ilmu.

Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah ” Al-‘Adat Muhakkamah

Ertinya : “Adat yang tidak bercanggah dengan Syara’ boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan”. (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219).

Terdapat satu keadah lain berbunyi : ” Innama tu’tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat

Ertinya : Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh majority”. (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65)

* Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat. Bagaimanapun, syarat ini hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Tatkala itu,  sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga.

* Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Seperti lagu-lagu memuji muja kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).

* Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara’. Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan pada pandangan saya.

Ust Zaharuddin

www.zaharuddin.net

Bersedia menyambut Ramadan

DALAM satu pidato ketika menyambut kedatangan bulan suci Ramadan, Rasulullah menyebut Ramadan sebagai bulan agung dan penuh berkat.

Ini kerana keagungan dan keberkatan yang menghiasi bulan itu, maka Ramadan selalu dinanti-nantikan kehadirannya oleh setiap Muslim. Perkataan berkat itu membawa erti kebaikan dan kebajikan yang melimpah.Menurut seorang ulama tafsir terkenal, Al-Asfihani, sesuatu disebut berkat apabila di dalamnya terkandung kebaikan dan kebajikan yang amat banyak.

Contohnya, air hujan disebut Allah dalam al-Quran sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan yang melimpah-ruah kerana dapat menyuburkan tanah dan menumbuhkan pelbagai tanaman yang amat berguna kepada manusia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan juga Kami menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai, serta pohon kurma yang tinggi menjulang yang mengeluarkan mayang berlapis-lapis, lagi hebat putiknya; (Semuanya itu) itu sebagai rezeki bagi hamba Kami.

Dan lagi Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati; demikianlah pula keadaan keluarnya (orang yang mati dari kubur selepas dibangkitkan hidup kelak).” (al-Qaf: 9-11)

Keberkatan, menurut Syeikh Rashid Redha, ada dua jenis. Pertama, keberkatan bersifat fizikal seperti air hujan, rezeki, kesihatan jasmani dan kenikmatan lain yang memberikan kebahagiaan kepada manusia.

Kedua ialah keberkatan yang tidak bersifat fizikal seperti turunnya wahyu, institusi serta ketenangan jiwa yang dapat memandu manusia ke arah kesempurnaan dan kesejahteraan abadi. Keberkatan kedua inilah yang menghiasi serinya Ramadan.

Dari sini, satu lagi keberkatan yang menyerikan lagi fadilat Ramadan ialah turunnya al-Quran.

Al-Quran itu sendiri disebut Allah sebagai kitab yang di dalamnya terkandung peringatan dan keberkatannya sebagaimana firman Allah bermaksud: Dan al-Quran ini juga pengajarannya yang berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad); dengan keadaan yang demikian, maka patutkah kamu mengingkarinya? (al-Anbia: 50)

Apa yang lebih istimewa ialah malam yang mana al-Quran diturunkan disebut oleh Allah sebagai malam yang diberkati, lailatin mubarakah sebagaimana firman-Nya bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat: (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba Kami ditimpa azab). (al-Dukhan: 3)

Bertitik tolak dari sini, Ramadan sungguh diberkati dan mengandungi pelbagai keberkatan dan keistimewaan yang tidak terhingga banyaknya.

Dalam bulan ini, Allah banyak menurunkan rahmat, memberikan pengampunan dan menyediakan jaminan pembebasan manusia daripada api neraka.

Tidak cukup dengan itu, Allah menutup pintu neraka, membelenggu pergerakan syaitan dan membuka seluas-luasnya pintu syurga.

Apa yang lebih menarik lagi ialah Allah melipatgandakan ganjaran pahala segala ibadah dan amal soleh sehingga beratus-ratus dan beribu-ribu ganda kecuali ibadat puasa yang hanya menjadi perhitungan rahsia di sisi Allah.

Selanjutnya, Allah membuka pintu kemaafan dan keampunan seluas-luasnya sebagaimana maksud sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan keredaan Allah, maka Allah akan mengampuni seluruh dosanya seumpama dia baru lahir dari rahim ibunya.” (Riwayat Ahmad)

Demikianlah Allah mengagungkan Ramadan. Berdasarkan kepada keistimewaan dan keberkatan yang hadir bersama Ramadan, secara jelas mengisyaratkan betapa Allah menyeru umat Islam supaya merebut kelebihan yang disediakan Allah sepanjang bulan mulia itu.

Tentunya dengan lebih banyak melakukan amal soleh selain ibadat puasa itu sendiri seperti solat tarawih, tadarus al-Quran, iktikaf, bersedekah dan berdoa.

Ringkasnya, hadirnya Ramadan mengundang seribu satu kesempatan bagi orang beriman untuk beramal ibadat di samping bertafakur dan bermuhasabah diri.

Amalan muhasabah diri akan mencetuskan kesedaran dan keinsafan yang cukup bermakna untuk memperbetulkan kesilapan lalu dan sekali gus meningkatkan mutu sesuatu amalan ibadat kepada Allah.

Alangkah ruginya jika seseorang Muslim yang tidak mengisi amalan ibadat sepanjang Ramadan dan tidak pula mengecapi fadilat Ramadan yang disediakan Allah bagi orang yang mengharapkan keredaan-Nya.

Maka benarlah apa yang pernah disabdakan Rasulullah saw yang bermaksud: “Betapa ramainya orang berpuasa sepanjang hari, namun mereka tidak mendapat apa-apa melainkan keperitan lapar dan dahaga.

Begitu juga betapa ramainya orang yang berjaga pada malam hari, namun mereka juga tidak mendapat apa-apa melainkan kepenatan berjaga malam.” (Riwayat Ahmad & Hakim)

Maka, tidak hairanlah Ramadan dianggap sebagai bulan latihan dan ujian daripada Allah. Inilah antara hikmah tersurat dan tersirat di sebalik pensyariatan ibadat puasa kepada umat Islam dan sekali gus mengangkat Ramadan sebagai bulan agung lagi penuh berkat.

Ibadat puasa sebenarnya melatih dalam mengelola dan mengendalikan kehendak atau keinginan kita. Dengan berpuasa, kita dapat merasakan betapa kita melatih kehendak agar pada akhirnya kehendak itu selaras dengan kehendak Allah.

Ironinya, dalam keadaan berlapar dan menahan dahaga pada siang hari yang panas lagi terik pada Ramadan, bukankah perkara yang paling enak dilakukan dalam keadaan yang sedemikian rupa ialah makan dan minum?

Akan tetapi, hal sedemikian tidak berlaku sama sekali kerana kita menginsafi bahawa perbuatan itu menyalahi kehendak Allah.

Justeru, ia menuntut kesabaran untuk menahan diri daripada makan dan minum sebagaimana yang diperintahkan Allah dalam ibadat puasa.

Seterusnya, ibadat puasa melatih kita dalam persoalan ketaatan, kesabaran dan kesungguhan beramal ibadat kepada Allah.

Bukankah kerana ketaatan kita yang tulus ikhlas kepada Allah, kita pun tidak tergamak untuk melakukan larangan Allah ketika melaksanakan ibadat puasa seperti makan dan minum secara sembunyi dan jauh daripada pandangan orang ramai?

Begitu juga, bukankah kerana kesabaran dan kesungguhan beramal kepada Allah, kita bersedia menghadapi sebulan Ramadan dengan kelaparan, kehausan dan memelihara diri daripada perkara yang boleh membatalkan puasa, termasuk melalui malamnya dengan mengurangkan jumlah jam tidur agar dapat lebih banyak masa untuk beribadah kepada Allah?

Buah dari latihan dan ujian yang dihamparkan Allah sepanjang Ramadan ini ialah buah keimanan dan ketakwaan yang semakin hampir ke hadrat Allah.

Takwa, menurut definisi Imam Ali bin Abi Talib, ialah takut kepada Allah semata-mata, beramal serta beristiqamah dengan segala perintah-Nya, reda dan berasa cukup dengan keadaan yang sedikit dan bersiap sedia menghadapi hari kematian.

Takwa inilah antara objektif utama di sebalik pensyariatan ibadat puasa sebagaimana ditegaskan sendiri oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Nampaknya semacam ada satu hubungan secara langsung di antara takwa dan keberkatan yang mewarnai kehidupan harian seseorang Muslim, terutama dalam bulan mulia ini.

Apa yang dapat disimpulkan ialah keberkatan disediakan Allah dalam bulan ini hanya boleh diperolehi dengan iman dan takwa yang bertapak kukuh dalam jiwa sanubari seseorang Muslim.

Oleh sebab itulah, apabila diteliti dalam al-Quran, perkataan keberkatan itu sentiasa dikaitkan dengan iman dan takwa.

Contohnya, Allah berfirman yang bermaksud: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka usahakan. (al-A’raf: 96)

Mafhum ayat suci itu menegaskan bahawa iman dan takwa adalah saluran konkrit yang dapat memimpin seseorang Muslim untuk meraih pelbagai keberkatan dan kebajikan yang melimpah ruah yang dijanjikan Allah.

Oleh kerana itulah, Allah memfardukan ibadat puasa kepada umat Islam dengan harapan mereka dapat menjana keimanan yang tulus dan memantapkan ketakwaan yang kudus dan sekali gus meraih pelbagai jenis keberkatan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan ini.

Kelebihan Bulan Syaaban

Bulan Syaaban akan bermula dari 13 Julai 2010 hingga 11 Ogos 2010. Marilah kita banyakkan amalan di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan.

Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu.

Barangsiapa yang berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Allah Yusuf a.s. di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Sya’aban, dimudahkan Allah atasnya Sakrotulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada hura-hara Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya.

Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Sya’aban dan akhir khamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah).

Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.

Sabda Nabi s.a.w.: Sya’aban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani dan rohani).

Sabda Nabi s.a.w.: Bahawa puasa Syabaan kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Sya’aban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya, antara lain sabdanya lagi: Bahawa Allah Ta’ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat.

Sabda Rasulullah s.a.w.: Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdhal sesudah Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban. Pengertian Sya’aban: Kemuliaan, Ketinggian, Kebajikan, Jinak, Cahaya.

Sabda Nabi s.a.w.: Bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Qur’an atas segala kalam. Kelebihan Syaaban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihanku atas segala Anbia’ (Nabi-nabi). Kelebihan Ramadan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas sekelian makhlukNya.

Bulan Sya’aban, keagungan malamnya dengan Nisfu Syaaban seperti keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Sya’aban telah datang Jibril kepada Rasulullah s.a.w lalu katanya: Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang Allah beri padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekelian orang yang menyengutukan (syirik) denganNya dengan sesuatu, kecuali: tukang nujum, kekal dalam zina, kekal minum arak, derhaka terhadap ibubapa.

Puasa hari ‘Arafah (9 Zulhijjah)

Majlis al-Quda’ al-A’ala Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan bahawa tarikh 10 Zulhijjah 1430 H jatuh pada Jumaat bersamaan 27 November 2009 M. Pengumuman tersebut meliputi tarikh wukuf, 9 Zulhijjah 1430 H di Arafah pada 26 November 2009 ( Khamis ) dan Hari Raya IdilAdha akan di sambut di Mekah pada 27 November 2009

Dalam masa yang sama Malaysia menerusi pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah mengumumkan bahawa tarikh 10 Zulhijjah 1430 H juga jatuh pada 27 November 2009 M. Ini bermaksud tarikh 9 Zulhijjah 1430 H ( disunat berpuasa pada hari ini ) jatuh pada 26 November 2009 M ( Khamis ) dan Hari Raya Idil Adha akan di sambut di Malaysia pada 27 November 2009 M ( Jumaat ).

Persamaaan tarikh ini sememangnya telah dijangka. Namun persamaan kedua-dua tarikh ini bukanlah kerana Malaysia mengikut tarikh Pengisytiharan Wukuf di Arafah. Akan tetapi oleh kerana kedudukan hilal di Malaysia sudah wujud dan boleh dilihat, maka persamaan tarikh itu pun berlaku.

Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji. Fadhilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya, Rasullullah s.a.w. telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari ‘Arafah, sabdanya bermaksud: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya.” (Riwayatkan oleh Muslim dan al-Turmuzi)

Menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Puasa pada hari ‘Arafah itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datanag.” (Diriwayat oleh Muslim)

Hukum menyambut Halloween

Pada 31 Oktober setiap tahun, penduduk di US akan menyambut perayaan yang dikenali sebagai Halloween. Perayaan ini juga dikenali sbg All Saints’ Day. (Saint = St = org yg diisytiharkan oleh gereja kristian sudah mendapat ketakriman melalui kehidupan suci, melalui mukjizat dsb.) Seraca umumnya Halloween juga adalah perayaan yang berasal dari Gereja Kristian. Pada tahun ini, 2008, penduduk US akan menyambut Halloween pada hari Jumaat. Antara tradisi perayaan Halloween ini adalah “trick-or-treating”, “ghost tours”, “bonfires”, “costume parties”, “visiting haunted houses”, “carving Jack-o’-lanterns”, membaca kisah seram dan menonton filem seram.(sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Halloween)

Perayaan Halloween ini dibawa oleh imigran Ireland ke US sekitar abad ke-19

Terdapat banyak percanggahan dalam perayaan Halloween dari sudut agama. Antaranya, perayaan ini adalah diatas kepercayaan bahaya pada tarikh 31 oktober, jurang antara dunia nyata dan dunia roh adalah agak samar. Maksudnya, roh boleh berkomunikasi dengan manusia. Dipercayai pada malam halloween adalah malam dimana ruh kembali kerumah masing-masing untuk melawat sanak saudara dan kaum kerabat. Malam Halloween juga merupakan malam untuk menilik nasib, perbuatan menilik nasib dan mempercayainya adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Terdapat banyak lagi sambutan dan aktiviti ritual sepanjang sambutan Halloween yang bercanggah dengan kepercayaan Islam.

Teras kepada sambutan Halloween juga bercanggah dengan ajaran Islam. Sejarah awal sambutan Halloween sebahgiannya adalah berteraskan kepercayaan bahawa semangat ruh jahat yang mempunyai kuasa untuk merosakkan tanaman dan mampu membuatkan seseorang jatuh sakit.

Hujjah dan Dalil

Islam sangat prihatin dan menghendaki supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. ;

Bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”
(Al-Kafirun ayat 1-6)

Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. bermaksud :

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.
(Al-Hajj ayat 67)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, budaya dan amalan meraikan Halloween adalah DILARANG SAMA SEKALI oleh agama Islam. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian.

Sesungguhnya Allah itu tuhan yang maha penerima taubat. Bersegeralah bertaubat kepada-Nya.

Akhir kata

“Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.”
(Al-Ghafir ayat 39)

AMALAN SUNNAH SEMPENA AIDILFITRI

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
(Artikel ini diringkaskan dari buku MENYAMBUT RAMADAN & AIDILFITRI MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W. terbitan Karya Bestari)

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T:

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” – Surah al-Maaidah: 3.

Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini. Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.

• Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:

“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:

“Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.” – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

• Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.

• Meneruskan qiamullail.

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.

• Mandi pada pagi hari raya.

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:

“Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

• Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:

“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

• Memakai pakaian yang indah.

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:

“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:

“Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

• Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:

“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:

“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:

“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” – Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.

• Tempat perlaksanaan solat hari raya.

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

• Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

• Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:

“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

• Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

PENUTUP

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...