Category Archives: Keluarga

Tanggungjawab Menantu kepada Mentua

Dalam memperkatakan mengenai Tanggungjawab Menantu Terhadap Ibu Bapa Mentua, hari ini ramai yang salah tanggap mengenai tanggungjawab terhadap mentua.

Salah tanggap itu membawa kepada rasa kurang hormat terhadap mentua sedangkan mereka juga wajar dihormati seperti taraf menghormati ibu bapa sendiri.

Apabila wujud rasa kurang hormat, tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan mungkin tidak berlaku walhal tanggungjawab menantu perlu ada pada mentua. Menantu lelaki terutama mempunyai tanggungjawab berat terhadap mentua berbeza dengan menantu perempuan.

Kalau seorang wanita perlu meletakkan suami sebagai individu yang sangat perlu ditaati selepas Allah dan Rasul, bagi lelaki pula dalam konteks menantu dan mentua, mereka mesti menghormati ibu mentua diikuti bapa mentua selepas Allah dan Rasul.

Islam meletakkan martabat yang tinggi terhadap ibu, bapa dan juga mentua, justeru tanggungjawab itu tidak boleh diabaikan oleh menantu lelaki.

Mengabaikan seorang daripada mentua seolah-olah mengabaikan ibu bapa sendiri. Kesejahteraan rumah tangga amat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa mentua. Jika tanggungjawab itu diabaikan sudah tentu si isteri akan menjadi kurang selesa disebabkan ibu bapanya sendiri diabaikan oleh si suami.

Tegasnya, kedudukan ibu bapa sendiri dan mentua adalah sama tidak kira sama ada mentua beragama apa sekali pun, sama seperti tanggungjawab anak yang sudah memeluk Islam terhadap ibu bapanya yang belum memeluk Islam.

Lelaki Pemimpin Wanita

Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin kaum wanita”. Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kepimpinan adalah diterajui oleh kaum lelaki; manakala kaum perempuan adalah golongan yang dipimpin. Inilah fitrah atau sunnatullah yang berkuatkuasa dalam kehidupan manusia di dunia ini sepanjang zaman.

Dalam ayat lain pula Allah berfirman, bermaksud “Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.” Perintah ini ditujukan kepada kaum lelaki yang menjadi ketua sesebuah keluarga.

Pengaruh barat yang menular ke negara Islam berjaya menyerapkan ideologi persamaan hak wanita-lelaki dan akhirnya diterima umum. Akibatnya konsep kepemimpinan lelaki terhakis. Kaum wanita yang dahulunya berperanan mentadbir anak-anak dan rumahtangga si-suami kini sudah mengabaikan tanggungjawab. Anak-anak sebaliknya dipelihara oleh orang gaji.

Apabila ramai wanita sudah memandang tanggungjawab di rumah sebagai kolot dan tidak ekonomikal, maka institusi keluarga akan tercemar dan terjejas. Anak-anak kehilangan kasih-sayang ibu. Ibu hanya sempat melihat anak waktu petang atau malam. Ketika itu badannya sudah keletihan dan tidak berdaya untuk mengasuh anak lagi. Anak-anak membesar tanpa menerima kasih-sayang ibu. Apabila ibu tidak menyayangi anak, semasa dewasanya nanti, sudah tentu anak tidak akan mengasihi ibunya. Jadilah mereka anak yang kasar dari segi tutur-kata dan tingkahlaku.

Walaupun kesilapan ini seolah-olah berpunca daripada wanita tetapi sebenarnya adalah berpunca daripada lelaki yang tidak berjaya mentarbiah wanita yang diamanahkan kepadanya.

Kegagalan mentarbiah anak dan isteri menyebabkan ramai anak-anak gadis keluar beramai-ramai memburu kerja di mana-mana saja. Kilang-kilang perindustrian yang menawarkan insentif dan gaji lumayan menjadi alternatif utama berbanding profesion perguruan dan perkeranian. Bahkan ramai juga wanita yang menjadi doktor, jurutera, polis, askar dan sebagainya. Kuantiti wanita yang ramai bekerja menyebabkan berlakunya satu kekosongan yang ketara di dalam institusi keluarga. Keadaan ini digawatkan lagi dengan sikap pelajar lelaki yang tidak secemerlang pelajar perempuan. Kecemerlangan pelajar perempuan di dalam peperiksaan awam berbanding pelajar lelaki menjadi satu faktor ramainya wanita melibatkan diri di dalam pasaran tenaga kerja.

Penglibatan wanita yang ramai di dalam sektor pekerjaan menyebabkan berlakunya pengangguran di kalangan kaum lelaki. Mereka akhirnya terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Wanita bekerja terutama yang berpendapatan tinggi bertambah ramai yang hidup membujang. Pemuda yang menganggur sukar mencari wang untuk berkahwin. Akhirnya berlakulah pelbagai gejala keruntuhan akhlak di kalangan muda-mudi.

Walaupun banyak faktor dikaitkan dengan gejala keruntuhan akhlak yang berlaku sekarang, namun faktor yang jelas ialah kurang berkesannya peranan yang dimainkan oleh kaum lelaki sebagai ketua yang memimpin ahli-ahli keluarganya. Sebagai penutup sayugianya kita kembali kepada dasar Islam untuk mengembalikan martabat lelaki sebagai ketua yang diamanahkan untuk memimpin ahli-ahli keluarga dan kaum wanita amnya. Wallahualam.

Doa isteri kunci kejayaan suami

DOA seorang isteri untuk suami memang mustajab kerana jika wanita bermunajat, ia memang ikhlas, kata pendakwah dan perunding motivasi terkenal, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid.

Beliau yang juga pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata bagi membentuk keluarga bahagia, isteri perlu berdoa supaya keluarganya hidup dalam harmonis, diberi keselamatan dan kekuatan iman.

Beliau berkata, sebelum suami ke tempat kerja, isteri mendoakan kejayaan ketua rumah tangga itu.

“Insya-Allah, dengan keikhlasan isteri, doa itu akan dimakbulkan dan suami mendapat kejayaan.

“Usaha yang disusuli dengan doa adalah faktor yang memberi kebahagiaan kepada rumah tangga,” katanya.

Katanya, fenomena dalam masyarakat hari ini, menunjukkan kebanyakan pasangan hanya menampakkan kecantikan luaran dan tidak mengutamakan kecantikan dalaman.

“Ada pasangan yang hanya mahu tampil cantik lahiriah hingga mengabaikan kepentingan dan kehendak suami. Misalnya, isteri mahu kekal cantik tanpa menjaga makan minum suami hingga semuanya diserah kepada amah.

“Kadangkala suami pulang kerja kepenatan tetapi si isteri sibuk dengan kelas gim atau yoga,” katanya.

Menurutnya, mana-mana suami suka jika pulang bekerja, mereka disambut dengan senyuman dan rumah yang kemas.

“Jika isteri cantik tetapi rumah tangga tidak terurus, anak tidak terjaga pakaian dan makan minumnya, ia akan menyebabkan suami cepat bosan dan tidak selesa di rumah.

“Justeru, sebagai isteri, mereka perlu tahu cita rasa suami dan memperbaiki kelemahan yang ada kerana rumah adalah tempat terbaik bagi memupuk kasih sayang keluarga,” katanya.

Dalam usaha melahirkan keluarga bahagia, selain suami berperanan menjaga dan bertanggungjawab terhadap makan minum, isteri katanya ada peranan tersendiri.

Untuk menjadi isteri dan ibu cemerlang kepada sebuah rumah tangga bahagia, peranan wanita memang penting.

“Jangan meminggirkan peranan isteri kerana mereka adalah kunci kebahagiaan suami.

“Isteri yang bijak, bukan saja mampu menjadi wanita yang cantik dari segi luaran dan dalaman tetapi berperanan dalam semua aspek.

“Walaupun mereka memegang jawatan besar di syarikat, harapan yang disandarkan suami untuk menjadi suri terbaik dan ibu cemerlang mesti ditandai dengan kehebatannya menangani masalah anak-anak kerana ia melahirkan generasi masa depan yang cemerlang,” katanya.

Ustaz Wan Akashah turut menyarankan wanita menjadi golongan yang serba boleh sama ada di pejabat mahupun rumah.

Katanya, kehebatan sesebuah keluarga banyak dipengaruhi perawatakan isteri yang bukan saja seorang wanita tetapi ibu dan isteri.

“Jika anak-anak yang lahir itu mulia akhlak dan hebat dalam pendidikan, ia menggambarkan betapa hebatnya peranan isteri membentuk mereka menuju kegemilangan.

“Ini sekali gus membawa mereka menuju kecemerlangan rumah tangga,” katanya.

Oleh Noriah Idris

Tanggungjawab terhadap ibu bapa

Menghormati ibu bapa dituntut dalam Islam kerana kedudukan, martabat dan kemuliaan ibu bapa sangat istimewa serta tinggi sekali sehinggakan ibu bapa adalah yang kedua perlu dihormati selepas yang Maha Pencipta.

Terdapat dua jenis tanggungjawab yang boleh dilakukan anak terhadap ibu bapa mereka kerana jika mereka berbuat ehsan kepada ibu bapa, ia membawa kepada seribu keberkatan untuk si anak yang melakukannya.

Tanggungjawab pertama ialah tanggungjawab yang boleh dilakukan ketika ibu bapa masih hidup, manakala yang kedua ialah perkara yang perlu dilakukan selepas mereka meninggal.

Jika berbuat buat baik kepada ibu bapa, ganjaran yang Allah berikan ialah panjang umur dan murah rezeki. Anak yang sebegini diredhai Allah dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya.Selain itu, hidup mereka juga sentiasa dalam keberkatan dan peliharaan Allah serta dijauhkan daripada kesempitan hidup. Besar atau tidak ganjaran yang bakal diperoleh, ia mengatasi pahala berjihad fisabilillah.

Lebih besar daripada itu, anak yang tidak melupakan tanggungjawab kepada ibu bapa mendapat kemuliaan luar biasa dan Allah menjauhkan rasa dukacita serta kesedihan daripada hidupnya.

Tidak sekadar tanggungjawab ketika hidup, apabila ibu bapa meninggal, tanggungjawab yang perlu dilakukan lebih berat iaitu menguruskan jenazah ibu bapa bersama keluarga terdekat.

“Anak sewajarnya menerima berita kematian ibu atau bapa dengan reda dan sabar di atas qada dan qadar serta ketentuan Allah dengan mengucap ‘Inna lillaahi wa inna ilaihiraajiuun’ dan tidak meratap kematian berkenaan.

“Selepas itu segeralah menguruskan jenazah dengan memandi, mengkafan, menyembahyang dan mengebumikan dengan sempurna. Lebih afdal kalau anak berupaya membaca sendiri talkin untuk orang tua mereka.”

Selain itu, tanggungjawab lain perlu dilakukan ialah menyelesaikan hutang piutang ibu bapa dan membahagikan harta peninggalan mengikut hukum faraid yang ditetapkan supaya tidak timbul sebarang perbalahan di kalangan mereka yang berhak menerimanya.

Anak juga boleh mengqada puasa untuk ibu bapa mereka sekiranya ibadat tertangguh ketika hayatnya. Kalau berkemampuan, upah orang mengerjakan haji atau umrah bagi kedua-dua ibu bapa yang sudah meninggal itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...