Archive for the ‘Politik’ Category

Al-Muhaddith Syeikh Abdullah Al-Harari – Pejuang Ahli Sunnah Wal Jamaah Sejati

Thursday, June 4th, 2009

Dunia Islam baru-baru ini kehilangan sebutir permata yang selayaknya menjadi role model kepada kita semua. Jasanya terhadap Islam memang tidak terhitung kerana sikapnya yang zuhud dan tidak mahu bermegah-megah dengan tindakannya selain sentiasa mengorbankan diri untuk kepentingan masyarakat.

Lelaki alim kelahiran Harar, Ethiopia pada 1910 bersamaan 1328 Hijrah ini gigih memerangi begitu banyak dakyah palsu dan ajaran songsang dalam masyarakat. Meskipun paling menonjol dalam usahanya menentang gerakan Wahabi, namun Al-Muhaddith Syeikh Abdullah Al-Harari sebenarnya memberi sumbangan yang jauh lebih banyak.

Beliau adalah seorang yang alim, pakar dalam ilmu Feqah dan kuat berhujah menentang golongan-golongan yang terpesong dari landasan Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Paling jelas, seorang yang zuhud dan bertaqwa, ketika lahir, beliau dinamakan Abdullah. Manakala bapanya ialah Muhammad bin Yusuf bin Abdullah bin Jamei’.

Dilahirkan di Bandar Harar pada tahun 1910 bersamaan 1328 Hijrah dan dibesarkan di rumah yang penuh dengan kasih sayang pada ilmu agama. Beliau diberikan didikan agama yang mendalam sejak kecil dan telah menghafal al Quran ketika berumur 7 tahun.

Beliau membesar dengan menghafal ilmu-ilmu agama selain mendalami ilmu hadis dengan sanadnya sekali hinggakan telah berjaya diijazahkan meriwayatkan hadis nabi pada usia yang begitu muda.

Oleh kerana begitu terserlah kepintaran dan kebijaksanaan beliau, selain pengetahuan ilmu agama yang nyata begitu dalam, beliau telah dilantik menjadi Mufti Harar pada usia yang cukup muda, belum pun mencecah 18 tahun.

Selain sibuk menimba ilmu , zaman muda beliau juga dipenuhi dengan perjuangan untuk membebaskan Somalia daripada penjajahan British dan Itali.

Selepas berjuang membantu membebaskan bumi Somalia, ulama ulung ini mengembara ke desa-desa dan ke bandar-bandar di seluruh pelosok bumi Syam untuk menyampaikan ilmu-ilmu Islam yang berguna dan bermanfaat serta mengajarnya berteraskan metodologi Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Al-Muhaddith Syeikh Abdullah Al-Harari mempunyai perwatakan dan peribadi yang sangat baik, justeru tidak hairan jika ramai yang mengungkapkan kata-kata ”walaupun kulitnya hitam, namun hatinya putih”.

Sifat mulianya ini menyebabkan beliau diterima dengan baik oleh semua lapisan masyarakat di Syam, tanpa mengira latar belakang mereka.

Satu perkara yang membezakan beliau dengan para pejuang yang lain ialah kebijaksanaannya menyampaikan dakwahnya serta cara ia ditujukan kepada masyarakat umum.

Walaupun tegas dalam pendirian serta dakwahnya, ia tidak menyakiti dan menyentuh sensitiviti mana-mana pihak menyebabkan beliau tidak pernah ditahan atau dimasukkan ke penjara seperti rakan-rakan seperjuangan, contohnya Ibn Taimiyah dan Sayyid Qutb.

Pada tahun 1950 bersamaan dengan 1370 Hijrah, beliau telah pergi ke Beirut, Lubnan dan di sambut oleh ulama-ulama di sana seperti Syeikh Taufiq al Hibry. Kedatangannya di Lubnan juga adalah untuk mengajar dan membetulkan salah faham umat tentang Islam.

Beliau telah pergi meninggalkan kita pada subuh hari kedua umat Islam berpuasa iaitu 2 Ramadhan 1429 Hijrah bersamaan 2 September 2008, selepas waktu subuh di Beirut, Lubnan. Jenazahnya ulama tersohor ini disembahyangkan oleh ribuan umat Islam di Masjid Burj Aby Haidar, Beirut

Jasad beliau kemudiannya disemadikan berhampiran Masjid Burj Aby Haidar. Takziah kepada keluarganya. Kita sesungguhnya telah kehilangan seorang tokoh Ahli Sunnah wal Jamaah yang terkemuka. Al Fatihah untuk beliau…

KELUAR DARIPADA KERANGKA PEMIKIRAN POLITIK SEMPIT

Monday, May 11th, 2009

Sama ada dipersetujui atau tidak, kemelut politik dalam negara pada masa kini agak meruncing dan membimbangkan orang awam seperti penulis. Setidak-tidaknya itulah pandangan orang awam seperti saya. Betapa tidaknya, kemelut perebutan jawatan dalam UMNO menjadi-jadi, sebuah parti Melayu yang mengakui mewakili masyarakat Melayu Muslim. Apakah ertinya disebalik perebutan itu? Maknanya seolah-olah tidak ada lagi mereka yang benar-benar tertonjol dan berkredibeliti untuk mewarisi kepimpinan. Semuanya merasakan mereka lebih afdhal daripada orang lain.

Dalam pandangan Islam, orang tidak boleh berebut-rebut untuk menjadi pemimpin. Samalah halnya orang tidak boleh berebut untuk menjadi imam sembahyang. Imam dalam sembahyang sama lah dengan pemimipin di luar sembahyang. Tidak ada dualisme. Jika perebutan sebegitu sengit, ertinya sudah tidak ada kepercayaan di antara satu sama lain. Masing-masing merasakan mereka sama rata berada atas padang yang sama rata.
Lebih merisaukan lagi jika ada yang merasuah untuk memimpin.

Ajaran Islam mengajar kita yang muda menghormati yang tua, yang tua pula menyayangi yang muda. Kalau “fatwa” ini dipakai, orang muda malu untuk merebut daripada orang tua, dan yang tua pula sedia menyerahkan kepada yang muda tetapi yang lebih berwibawa. Inilah padahnya bila politik kita sudah begitu taksub kepada demokrasi liberal. Semangat syura yang dianjur oleh Islam sudah hilang.

Di luar UMNO pula, Pakatan Rakyat menjadi pembangkang yang taksub akan meruntuhkan kredibeliti UMNO tanpa mengira siapa yang naik. Tidak bolehkah satu kompromi, atas alasan menjaga bangsa, agama dan negara dalam gelodak ekonomi dunia yang merudum hari ini, mereka duduk berbincang secara tenang mencari jalan penyelesaian. Politik barat yang bersifat “sanggup membunuh dan dibunuh” satu sikap politik adu domba yang menakutkan. Masing-masing berpegang “Kalah jadi abu dan menang jadi arang”.

Semua pihak seharusnya melihat asas iman sebagai teras politik. Ia membawa makna kasih sayang dan juga toleransi yang cukup tinggi. Kadangkala kita membaca ayat itu dan hadis ini, tetapi apabila sampai kepada terjemahan praktis dalam kehidupan, semua pihak membelakangkan ajaran al-Quran dan Sunnah nabi. Saya cukup risau dengan keadaan politik yang ada; politik membunuh karekter dan membunuh secara fizikal melalui beberapa cara. Akhirnya tidak ada lagi pemimpin yang bersih. Semuanya sudah kotor.

Kita kadangkala seperti hilang rasa malu dan hormat sesama kita. Malah masing-masing sudah hilang malu dan hormat kepada diri sendiri, apalagi kepada pihak lawan. Nabi bersabda; “Jika sudah hilang malu, buatlah apa sahaja yang kamu mahu”! Ingatlah kembali kepada ajaran agama secara sebenar, sebelum nasi menjadi bubur. Allah menjanjikan jika satu kaum itu gagal membawa keadilan dan kesaksamaan, Allah boleh menggantikan kaum lain pula. Inilah yang berlaku dalam sejarah. Pelajarilah cerita kaum Thamud dan kaum `Ad, malah kaum Fira`un, ia bukan sekadar cerita penglipor lara atau cerita seribu satu malam, tetapi kesah benar yang perlu dijadikan iktibar.

http://mindamuslim.com

Categories
Hadis

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya kubur ialah tempat perhentian yang pertama dari tempat-tempat perhentian alam akhirat, oleh itu jika seseorang terselamat dari huru hara azabnya, maka huru hara di tempat-tempat yang lain lebih ringan lagi kepadanya; dan jika ia tidak terselamat dari yang tersebut, maka huru hara di tempat-tempat yang lain lebih berat lagi. — ‘Uthman bin ‘Affan r.a

StatPress
Visits today: 42
Total Visits: 14822
Since 13 Mac 2009