Category Archives: Solah

RUKUN HATI

Dalam solat atau sembahyang itu ada berbagai jenis rukun. Ada rukun fe’li atau perbuatan. Ada rukun qauli atau lafaz dan bacaan. Ada rukun kalbi atau hati.

Rukun fe’li termasuklah qiam atau berdiri tegak, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan duduk tahiyyat akhir. Rukun qauli pula termasuklah takbiratul ihram, bacaan suruh Al Fatihah, bacaan tahiyyat akhir dan salam. Rukun kalbi atau hati pula ialah niat.

Namun demikian, kerja hati di dalam solat tidaklah terhenti setakat niat sahaja. Kerja hati dalam solat banyak dan umumnya lebih rumit dan lebih berat dari kerja anggota jawarih dan lidah. Termasuk kerja hati ialah tawadhuk, khusyuk dan khuduk walaupun ia tidak termasuk dalam rukun solat.

Tawadhuk ialah merendahkan diri, merendahkan hati atau merendahkan “sayap” ke hadrat Allah Taala yang disembah. Merasakan diri kecil dan kerdil di hadapan Allah. Merasakan diri hamba yang sebenar-benar hamba tanpa ada rasa “tuan” di dalam hati.

Supaya di dalam solat itu hanya ada dua entiti. Satu ialah Tuhan yang disembah, dipuja dan diagungkan. Kedua ialah hamba yang hina dina yang menyembah, yang memuja dan mengagungkan Tuhan dan bukan tuan, bukan raja, bukan sultan, bukan Tun, bukan Tan Sri dan sebagainya.

Khusyuk ialah rasa-rasa yang timbul di hati semasa solat. Orang yang khusyuk di dalam solat ialah orang yang mengalami dan merasakan berbagai-bagai rasa hasil dari penghayatan dan penjiwaan apa-apa yang dilafaz dan dibacanya. Rasa-rasa ini boleh jadi rasa-rasa bertuhan seperti merasakan bahawa Allah itu Maha Hebat, Maha Pemurah, Maha Pengampun, Maha Berkuasa, Maha Perkasa, Maha Mengetahui dan sebagainya ataupun rasa-rasa kehambaan seperti rasa bimbang, takut, cemas dan gerun terhadap Allah, bergantung harap, rasa cinta, rasa bersalah dan berdosa, rasa hina di sisi Allah dan sebagainya.

Khuduk pula ialah ketaatan dan penyerahan diri secara total kepada Allah. Merasakan bahawa dirinya adalah hak kepunyaan Allah dan terpulanglah kepada Allah untuk berbuat apa sahaja terhadap dirinya. Menyerahkan dirinya kepada Allah seperti mana bayi yang baru lahir menyerahkan dirinya kepada ibunya. Terpulanglah kepada ibunya sama ada akan memandikannya, membedungnya, menyusukannya ataupun tidak. Si bayi tidak ada apa-apa daya dan kuasa ke atas dirinya sendiri. Ataupun seperti mayat yang menyerahkan dirinya kepada pengurus mayat. Terpulanglah kepada pengurus mayat itu hendak berbuat apa sahaja kepadanya. Si mayat tidak ada daya atau kuasa untuk membantah atau menghalang.

Rukun seperti rukun fe’li, qauli dan kalbi seperti niat perlu dijaga kerana ia bersabit dengan sah atau batalnya solat. Namun begitu, kerja dan amalan-amalan hati yang lain di dalam solat seperti tawadhuk, khusyuk dan khuduk ini sama pentingnya kerana tanpa amalan-amalan hati ini, solat kita terputus dari Allah walaupun pada zahirnya solat kita sah. Ada hadith yang berbunyi:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada gambaran lahir kamu tetapi Allah melihat kepada hati-hati dan amalan-amalan kamu.”

Solat yang tanpa amalan-amalan hati tidak akan dapat mendidik kita, tidak akan dapat membersihkan sifat-sifat mazmumah yang bersarang di hati kita, tidak akan dapat mengembalikan fitrah kita kepada keadaan asal semulajadinya yang suci murni, tidak akan dapat membangunkan insaniah kita dan tidak akan dapat mencegah dari yang keji dan yang mungkar.

Jangan makan air tangan orang tak solat

Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan solat tu, adalah dosa besar, dan malahan lebih hina daripada khinzir.. Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman NabiMusa A.S. Begini kisahnya…

Pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga , dia tak ada zuriat lalu, terdetik dalam hati dia (nazar), “kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam. ” Nak dijadikan cerita, Allah pun kurniakan isteri si lelaki tadi pun hamil dan melahirkan anak.

Bila dah dapat anak, laki ni pun runsinglah. Dia dah nazar nak kena minum air kencing anjing hitam. Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. Kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yang haram, maka tak payah buat, tapi kena denda(dam) atau sedekah..

Tapi, kalau zaman Nabi Musa, barangsiapa bernazar, walaupun haram, tetap kena laksanakan nazar tu.. lalu, si lelaki yang dapat anak tu, dengan susah hatinya, pun pegilah bertemu dgn Nabi-Allah Musa. Dan menceritakan apa yang terjadi ke atas dirinya.. lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki tu tak perlu minum air kencing anjing hitam, tapi akan minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam.

Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan sembahyang dan minum air tu. lalu, lelaki tu pun senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi. Lihat, betapa hinanya orang yang meninggalkan solat, sampai dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumah dia, lebih hina dari air kencing anjing hitam.

Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi. Menyentuh bab air tangan ni, selalu kita suka makan masakan ibu, isteri kita. Jadi, kepada muslimat sekalian, peliharalah solat , sebab kalau meninggalkan solat (kalau tak uzur), air tangan akan menitik ke dalam basuhan makanan, nasi, dan sebagainya, anak-anak, suami pulak yang akan makan makanan yang dimasak. Takkan nak biarkan suami dan anak-anak gelap hati minum air tangan orang tinggalkan solat.. tak gamakkan?

Tapi..lain pulak halnya dengan kita ni, pagi petang mamak!! teh tarik satu, roti canai satu.. ada pulak segelintir tukang masak yang tak solat. Kita pun makan bekas air tangan dia maka gelap lah hati kita.. Sebab tu liat nak buat kerja-kerja yang baik. Berhati-hati dengan apa yangkita makan. Betapa beratnya amalan solat ni, hatta Allah syariatkan solat kepada Nabi Muhammad melalui Isra’ Mikraj, sedangkan kewajipan-kewajipan lain memadai diutus melalui Jibril a.s.

Ketika saat Rasulullah nazak, sempat baginda berpesan kepada Saidina Ali (untuk umat Islam) , “As-solah as Solah wa amalakat aimanukum.” maknanya,”Solat, solat jangan sekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu.” jadi, sama-samalah kita pelihara solat kita, dari segi zahir dan batinnya, kerana amalan solatlah amalan yang mula-mula akan ditimbang di neraca Mizan Kelak.

Dipetik dari http://isuhangat.blogspot.com

Panduan Mengkhusyukkan Sembahyang

  1. Memakai pakaian yang bersih dan suci lagi kemas serta bau-bauan yang diharuskan dan sentiasa sembahyang di awal waktu kecuali jika ada sesuatu majlis atau keuzuran
  2. Tidak memandang ke kiri atau ke kanan sebaliknya terus memandang ke tempat sujud
  3. Menyemaikan di dalam hati perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang Maha Melihat setiap gerak-geri kita
  4. Menumpukkan pandangan ke tempat sujud dan tidak banyak menggerakkan anggota badan dalam sembahyang
  5. Membanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin
  6. Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan atau persekitaran sembahyang
  7. Cuba memahami segala isi bacaan dalam sembahyang termasuk ayat Al Quran, zikir dan tasbih
  8. Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air merata pada semua bahagian anggota yang wajib dan membaca doa apabila air melalui di tiap-tiap anggota tersebut
  9. Membaca surah An-Nas, selawat ke atas Rasulullah SAW, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan sebelum takbir
  10. Tidak menahan diri dari membuang air kecil atau air besar sebelum sembahyang sebaliknya hendaklah ditunaikan hajat itu
  11. Menjaga makan dan minum dan memastikan sumbernya dari yang bersih lagi halal serta menjauhi makanan yang haram dan syubahat
  12. Memastikan di bahagian hadapan tempat sujud tidak ada gambar yang boleh menarik pandangan yang menyebabkan fikiran dan hati terganggu
  13. Banyak mengingati mati dan menganggap sembahyang yang dilakukan itu adalah sembahyang yang terakhir dalam hidupnya
  14. Menyedari hakikat yang ianya sedang berhadapan dengan Allah yang Maha Agung dan Maha Mengetahui akan segala rahsia hambanya
  15. Memusatkan seluruh ingatan dan tumpuan pada sembahyang serta melambatkan bacaan tasbih
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...